Wednesday, 23 March 2016

JURNAL SELASA ( 22 MAC 2016 )

Assalamualaikum semua, apa khabar???.
 
            Setelah sekian lama saya menyepi, hari ini akhirnya saya kembali juga dalam alam maya ini tetapi bezanya kali ini lama,bersambung-sambung, berhari-hari dan panjang kerana semuanya perlu dalam bentuk penulisan jurnal.  Tugasan yang diberikan kepada kami, pelajar F3K3 Kolej PERMATA kali ini adalah sama seperti semasa saya Foundation 1 dahulu.  Kami telah dimaklumkan bahawa tugasan penulisan jurnal ini perlu dilaksanakan semula oleh kami memandangkan pada peperiksaan kali pertama baru-baru ini, penulisan karangan umum kami kurang memuaskan.  Ramai antara kami yang kurang mahir membina ayat yang gramatis dan menarik.  Oleh itu, diharapkan penulisan jurnal bagi kehidupan seharian saya di PERMATA ini akan dapat mencapai tujuan agar saya dapat membaiki pembinaan ayat saya kelak.

            Pada hari ini, seperti biasa saya akan dikejutkan oleh Ustaz Khir untuk solat Subuh.  Sedihnya  pada  pagi ini, ketrampilan saya akan berbeza dengan pelajar lain.  Saya akan pergi ke kelas dengan memakai selipar sahaja dan bukan seperti biasa berkasut memandangkan kaki saya telah melecet dan masih dijangkiti kudis buta (scabies). Sebetulnya semalam saya telah meminta kebenaran Dr. Rorlina untuk memaklumkan keadaan saya ini serta meminta kebenaran untuk memakai selipar sehingga kaki saya pulih seperti biasa.  Alhamdulillah, saya bersyukur kerana  perjalanan saya sebagai pelajar pada hari ini  tiada yang menimbulkan masalah, memeningkan atau menyedihkan.  Saya dapat menghadiri semua kelas dengan gembira dan bersemangat walaupun kesihatan saya kurang memuaskan memikirkan kaki saya ini. Jadual pembelajaran saya bagi sesi pagi  ialah   BM àBio à BI à Math.  Setelah habis sesi persekolahan waktu pagi, saya makan dan berehat sebentar untuk menunggu sesi pembelajaran petang pula. 

            Pada sebelah petang pula, kelas saya ialah matapelajaran Kimia dan Seni Persembahan.  Waktu Kimia, cikgu Md Noor berasa kecewa kerana ada beberapa orang pelajar kelas saya yang tidak hadir dan hadir lewat ke kelas.  Kami dimaklumkan bahawa pelajar ini berkemungkinan akan menghadapi risiko yang berat atas kesalahan yang telah dilakukan.  Saya pula sebagai ketua kelas diminta oleh guru Kimia untuk bertanggungjawab dan amanah dengan bertindak seperti yang diarahkan agar perkara ini tidak berulang.  Semasa kelas Seni Persembahan, kami telah berlatih muzik ghazal dengan tajuk lagu ‘YA SALAM‘.Latihan ini adalah untuk persediaan persembahan di Langkawi serta persembahan semasa ‘ FUTURE SCIENTISTS CONFERENCE ‘ yang akan  berkemungkinan berlangsung pada bulan September.

                   Pada sebelah malam pula, rasanya tiada apa-apa pun yang menarik hendak diceritakan.  Semuanya sama iaitu selepas solat Isya’, ke kelas prep dan balik sempat untuk menyiapkan jurnal ini. Saya berharap saya tidak akan bertangguh-tangguh tugasan. Oleh itu saya menamatkan jurnal saya untuk hari ini dahulu.  Jumpa esok, ye.

No comments:

Post a Comment