Saturday, 9 April 2016

JURNAL KHAMIS ( 7 APRIL 2016 )


                Hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh kami pasukan ghazal. Hari ini kami akan membuat persembahan di hadapan 3 sekolah yang juga mewakili Malaysia ke Romania untuk perbentangan research  di sana.  Pada pukul 8.30pagi , kami telah pergi ke bilik Muzik untuk mebuat persiapan diri yang terakhir.  Semua kawan saya telahsiap  memakai baju Melayu dahulu kecuali saya.  Saya tidak mahu terus memakai pakaian tersebut kerana takut berpeluh.  Hampir pada pukul 9.00 pagi, Zoey telah memberitahu saya  bahawa majlis akan bermula tidak lama lagi dan cikgu telah memanggil kami untuk ke Auditorium.  Dengan segera, saya telah bergegas ke sana dan akhirnya, berpeluh juga.  Kami dimaklumkan bahawa kami akan membuat persembahan yang terakhir selepas sekolah ASIS ( Sekolah Menengah Sains Alam Shah ) membuat persembahan.  Sekolah ASIS telah  membuat dikir barat. Saya telah menggunakan masa ini untuk mengumpul suara saya.

            Tidak berapa lama kemudian, giliran kumpulan ghazal mengadakan persembahan.  Secara tiba-tiba perasaan saya begitu gementar. Saya masih ragu-ragu untuk menyahut cabaran cikgu Hafiz serta mampukah saya seperti malam tadi memberikan persembahan yang terbaik kepada para penonton hari ini.  Cabaran cikgu dan rakan-rakan yang memberikan galakan kepada saya dengan hadiah yang lumayan menjadikan saya bertekad untuk melaksanakannya bersungguh-sungguh.  Jika saya berjaya tentunya hadiah lumayan tersebut akan dapat kepada saya.

            Saya berserta kawan-kawan yang lain telah naik ke pentas. Dengan iringan alat muzik yang pelbagai kami telah membuat persembahan yang menarik.  Saya melakukan seperti yang diarahkan,  tetapi tanpa disedari ketika hendak melenggokkan kepala, songkok saya hendak terjatuh, dengan serta merta sambil menari, menyanyi, memalu kompang, saya cuba menyambut songkok.  Tidak disedari reaksi saya itu  menjadikan penonton ketawa dan bermula detik itu saya menjadi tontonan.  Lenggokan saya bersama pukulan kompang seterusnya rupa-rupanya menjadi bahan gelakan penonton hinggakan suasana dewan penuh dengan sorakan yang tidak diduga.  Saya begitu teruja dan gembira kerana mendapat tepukan yang gemuruh hinggakan berdiri daripada para penonton.  Saya sendiri tidak menyangka dapat memberikan persembahan sedemikian dan mendapat sokongan penonton yang sedemian juga.  Hari ini saya terasa seperti artis. Saya telah dipanggil oleh abang-abang daripada sekolah-sekolah tersebut untuk bergambar.

            Saya telah menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada saya dalam kumpulan ghazal dengan bersungguh-sungguh.  Saya terlalu bersyukur dan gembira persembahan kumpulan ghazal kami mendapat sorakan di luar jangkaan daripada penonton.  Cikgu Hafiz dan Dr, Ridzuan juga  mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada saya kerana berjaya menyahut cabarannya.

No comments:

Post a Comment